Kita lupa Nabi Adam AS asalnya daripada syurga dan kita sepatutnya pulang ke sana. Kita bukan berasal daripada neraka. Al-Quran sering mengulangi kisah Adam, antara hikmahnya, agar kita sering mengingati hakikat ini. Tempat pulang kita adalah syurga yang dilimpahi dengan segala kenikmatan.
Sehingga Nabi SAW jelaskan tentang keindahan syurga itu maksudnya: “Allah berfirman: “Aku sediakan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh itu apa yang mata tidak pernah melihatnya, telinga tidak pernah mendengarnya (kelunakan bunyiannya), dan tidak pernah terlintas (keindahan itu) dalam jantung hati manusia.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Nabi SAW menceritakan kepada kita tentang kedahsyatan neraka dan kenikmatan syurga dalam sabdanya: “Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku! Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan.” (Riwayat Muslim)
Syurga melupakan kita kepada segala derita dunia, sementara neraka melupakan kita kepada segala kenikmatan dunia.
Kita sering dilalaikan oleh politik, kuasa, harta, anak-pinak, masyarakat, teman rakan, kerja dan pelbagai lagi sehingga kita lupa untuk apa kita lakukan semua itu? Sebagai bekalan perjalanan? Atau sekadar berlumba membanyakkan atau menguatkan kedudukan dan harta tanpa mempedulikan halal dan haram sehingga menjadi beban perjalanan?
Maka persaingan hidup membawa kita terlupa pada destinasi akhir yang disediakan untuk kita hanyalah dua; syurga ataupun neraka. Tiada yang ketiga buat kita.
NIZAM @ ahmadafzainizam.wordpress.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan